Friday, July 16, 2010

SEMAKIN MENYEPI....

Blog ini semakin menyepi. Bukan sahaja kerana tuan punyanya semakin 'rajin' tetapi juga kerana 'broadband' semakin banyak masalahnya. Selalu tak dapat akses. Kemungkinan juga wujud 'persaingan' dengan facebook. Oleh kerana facebook lebih bersifat interaktif berbanding 'bemonolog' di sini, keterujaan untuk menulis semakin berkurangan. Maka menulis di facebook dirasakan lebih menarik berbanding mencuri sedikit masa untuk manambah maklumat di ruangan ini.
Suatu masa, diharapkan saya akan kembali rajin mengisi ruang-ruang kosong di sini......

Tuesday, May 18, 2010

HARI GURU

Satu lagi hari yang bermakna ialah hari guru yang disambut setiap 16 Mei. Tahun ini adalah tahun ke14 saya menyambutnya. Setiap tahun membawa kenangan berbeza...
Buat bekas guru-guru saya, terima kasih kerana mendidik saya menjadi pendidik yang berilmu.
Buat anak-anak didik dan bekas anak-anak didik, terima kasih atas ucapan dari kalian semua. Moga ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan.
Buat rakan-rakan seperjuangan, semoga kita akan terus meletakkan profesion ini di puncak kemuliaan, menunaikan setiap janji yang pernah terlafaz dan tetap tabah menghadapi cabaran.
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Monday, May 10, 2010

HARI IBU

Selamat Hari Ibu buat semua yang bergelar ibu.
Buat Bonda tersayang....Selamat Hari Ibu. Terima kasih segalanya. Pengorbananmu kusanjung tinggi, kuletakkan di mercu hati, sepanjang hayat tak dilupai. Semoga Allah menebarkan keberkatanNya ke setiap penjuru kehidupanmu.

Saturday, May 8, 2010

MELESTARIKAN KEBITARAAN

Itulah tema Anugerah Hari Kecemerlangan tahun ini. Telah pun berlangsung hari ni dalam suasana sederhana tetapi meriah. Tahniah kepada semua penerima anugerah dan semoga kecemerlangan ini diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

Sunday, May 2, 2010

FACEBOOK?

Ada tak agaknya orang dalam dunia ni yang tak tahu bahawa dia mempunyai facebook? Kelakar kan? Saya pernah meminta adik tolong mendaftarkan facebook untuk saya. Setelah dicuba-cuba dia kata tak berjaya. Jadi, saya menganggap memang tak berjayalah....
Baru-baru ni, seorang kawan lama mengirimkan mel elektronik mengenai perjumpaan semula graduan ITM Melaka (reunion). Maka, saya kembali membuka hotmail yang sekian lama terbiar tak dibuka. Banyak betul mesej meminta saya menjadi rakan mereka di FB! Klik sana klik sini dapatlah membaca beberapa mesej daripada rakan-rakan yang begitu lama tidak dihubungi. Teringat zaman persekolahan dulu (waktu saya rajin menulis), lambatnya menerima balasan surat yang dikirimkan. Tiap hari menunggu posmen datang membawa surat. Kini, zaman dah berubah. Semuanya di hujung jari...malah boleh berbual di laman sembang! Tapi sayangnya....saya tidak lagi rajin menulis macam dulu..

Friday, April 16, 2010

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2010

Salah satu 'acara wajib' setiap tahun ialah ke pesta buku. Tahun ini saya mencipta sejarah sebab buat pertama kalinya pergi di waktu petang dan balik hingga saat-saat akhir gerai-gerai akan ditutup.
Orang begitu ramai. Kekadang terfikir juga kenapa selalu artikel-artikel di akhbar melaporkan kurangnya semangat membaca dalam kalangan masyarakat sekarang. Kalaulah semua yang datang ke pesta buku ini dikira membaca buku yang mereka beli, artikel itu mungkin kurang tepat.
Rambang mata melihat buku yang pelbagai terutama yang sukar ditemui di kedai-kedai buku. Potongan harga menarik terutama buku-buku lama yang memang tidak akan ditemui lagi di pasaran. Perasaan semasa membelinya pun tidak sama seperti membeli buku pada waktu lain di kedai biasa. Rasanya perasaan itu hanya yang mengalaminya akan lebih memahami.
Banyak juga wang yang habis kali ini. Tapi membeli buku bagi saya adalah satu pelaburan jangka panjang. Selain boleh diulang baca, maklumat di dalamnya amat berguna untuk diri sendiri dan mereka yang bakal mewarisinya. Bukankah untuk memperolehi dunia dan akhirat, kita perlu memiliki ilmu?
Tak sabar tunggu acara tahun hadapan.....jika masih ada waktu mengizinkan!

TAK CUKUP MASA?

Lamanya tidak menulis di sini. Mungkin alasan biasa ialah tak cukup masa. Ironinya setiap orang diberikan jumlah masa yang sama setiap hari tetapi ada orang masih boleh melakukan banyak perkara tanpa dihalang oleh perkataan " kesibukan".
Blog ini masih dalam keadaan 'sakit' kerana masih belum dirawat. Sudah lama tidak boleh menyalin artikel dari laman web lain, hanya boleh 'posting' macam ini sahaja. Hari ini dapat menambah beberapa peta minda untuk mata pelajaran PP2 menggunakan 4shared. Insya Allah, ada kesempatan perlu berjumpa 'doktor' yang mampu mendiagnosis apa punca penyakit blog ini kerana tuan punya blog belum sampai tahap kepakaran itu.
Sepanjang tempoh 'pertapaan' ini, banyak perkara yang telah berlaku. Tidak sedikit pengajaran yang boleh diambil. Salah satunya ialah hargailah sesuatu sewaktu ia masih menjadi milik kita. Menghargai waktu ia telah tiada, tidak ada gunanya lagi.
Jumpa lagi!

Saturday, February 27, 2010

ADUHAI ANTI VIRUS

Orang kata anti virus yang paling baik ialah yang boleh mengesan wujudnya virus dalam fail-fail kita. Apa yang berlaku pada saya tak tahulah samada baik atau sebaliknya. Dek kerana terlalu canggih, anti virus yang ada dalam komputer riba telah memadam (delete) semua fail yang dijangkiti virus tanpa kebenaran saya! Tambah perit bila fail yang dipadam itu adalah fail-fail penting yang menjadi sumber rujukan penting. Fail tu pula hanya ada dalam 'pen drive' itu satu-satunya! Tak ada 'backup' langsung.
Saifuddin kata fail tu boleh dipanggil semula jika guna komputer yang juga dijangkiti virus! Dah cuba hari Khamis lalu tapi tak berjaya. Nampaknya kena minta tolong orang yang pakar jugak, siapa lagi kalau bukan orang yang beri nasihat tu. Mungkin panggilannya nanti boleh mengembalikan fail-fail tu.
Pengajaran daripada pengalaman ini ialah : pastikan ada backup bagi setiap fail yang disimpan!

Sunday, February 21, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira'
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka
Mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat
Dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan airmata syahdu
Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia
Kan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selama.......

Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami
Warisan yang abadi
Dan bersaksilah
Sesungguhnya
kami merinduimu............

Tuesday, February 2, 2010

SESEKALI.....













Zaman kanak-kanak..... zaman paling indah?