Tuesday, October 20, 2009

NOSTALGIA


Nostalgia adalah tajuk sebuah novel yang saya beli di Pameran Buku DBP UKM pada 28 Julai 1992. Inilah novel yang paling menyentuh perasaan saya hingga kini.

Pandangan rakan saya, Zuraine meminta saya membuat ulasan novel-novel yang pernah dibaca di blog ini menggerakkan saya untuk menyediakan satu ruangan khusus untuknya. Justru, saya akan memulakan ruangan ini dengan novel ini.

Novel ini memaparkan kisah hidup dua orang wanita yang sama-sama menghadapi pergolakan kejiwaan dalam meniti ranjau kehidupan. Sarah dan Dalila, dua sahabat karib yang melalui pelbagai dugaan yang mencabar dan menjerut rasa. Sarah, walaupun berada di tengah-tengah masalah keluarga dan himbauan kenangan silam yang menggetarkan perasaan tetap gigih berusaha menghasilkan sebuah manuskrip yang merakamkan detik-detik penderitaan hidup Dalila, sahabatnya yang mengidap ketumbuhan di kepala.

Bahasa yang digunakan sangat indah, teknik imbas kembali yang membawa pembaca turut sama 'terlibat' dalam ceritanya, pengakhiran yang memilukan, yang mungkin ramai pembaca tidak mahu ia berakhir begitu (termasuk saya) tetapi menggambarkan penulisnya tidak menunjukkan 'kuasa'nya untuk melakukan apa sahaja pada karyanya. Membiarkan kita sebagai pembaca akur bahawa rencana Allah ada kala berbeza dengan perancangan hambaNya.

"Ayah mereka dapat memenangi hati anak-anaknya. Aku tidak pernah terasa terkilan atas alasan itu. Hati seorang ibu tidak dapat diduga oleh anak-anaknya itulah yang menyedihkan. Kasih seorang ibu sepanjang hayatnya; melahirkannya, menjaganya dan ingin melihat anak-anaknya bahagia selamanya. Pengalaman pahit ibu bapa janganlah diulang atas sifat bodoh dan degilnya. Aku tidak menjangka masa remaja anak-anak merupakan waktu yang paling sukar bagi seorang ibu"

"Di hadapan aku mendapati Dalila berkeseorangan di atas kerusi rodanya. Alangkah pedihnya meniti hidup ini begitu, bisik hati kecilku. Hati kecilku yang enggan berasa kecil hati atas tindakan anak-anak darah dagingku"

Buat Robayah Mahmood, anda memang bijak memainkan perasaan!




2 comments:

Anonymous said...

" Perjalanan hidup ini,siapakah yang lebih arif tentangnya? "......

-zdris 20171002

Anonymous said...

The best novel